182 orang terkesan pandemik terima sumbangan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Seramai 182 orang merangkumi 122 orang daripada golongan asnaf dan fakir miskin dan selebihnya daripada keluarga kurang berkemampuan yang terkesan akibat COVID-19 di seluruh negara, hari ini menerima sumbangan mereka.

Majlis pengagihan sumbangan berupa barangan asasi dan keperluan anak damit itu dilaksanakan secara pandu lalu di Dewan Kemasyarakatan Kampung Parit. Turut hadir menyaksikan pengagihan sumbangan itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohaimin bin Haji Johari @Jahari.

Ketua Persatuan Wardah Amal Jariah Limau Manis, Dayang Wardah ketika ditemu bual menjelaskan, usaha yang diungkayahkan itu adalah untuk meringankan beban keluarga golongan asnaf dan fakir miskin serta keluarga yang terkesan akibat pandemik dan julung kali diadakan pada gelombang kedua penularan.

“Penerima agihan sumbangan ini dinilai daripada beberapa aspek yang mana sebahagiannya senarai nama mereka diperolehi daripada ketua kampung dan mereka yang mendaftar ke persatuan ini,” jelasnya.

Menurutnya, sumbangan diagihkan hari ini adalah hasil kutipan ahli persatuan dan sumbangan orang ramai yang dikumpulkan beberapa minggu lalu.

“Inisiatif seumpama ini juga dirancang diadakan pada awal Oktober kelak untuk memastikan orang-orang terkesan pandemik ini dapat dibantu,” katanya.

Persatuan Wardah sering terlibat dan bergiat aktif melaksanakan inisiatif pengagihan sedekah yang di-sumbangkan daripada orang ramai di Masjid Kampung Limau Manis.

Antara yang menerima agihan sumbangan orang ramai dan persatuan yang dilaksanakan oleh Persatuan Wardah secara pandu lalu.