183 penuntut sertai jerayawara kenali Asean

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Seramai 183 penuntut Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna telah menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, hari ini.

Jerayawara yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim selaku ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Penerangan.

Dalam taklimat itu, beliau antara lain menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan penuntut sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu satu visi, satu identiti, satu komuniti.

Taklimat tersebut turut memberigakan Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, jerayawara diadakan untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut sekolah menengah di negara ini.

Dayang Mufidah semasa menyampaikan pembentangannya pada taklimat tersebut.
Antara pelajar sekolah berkenaan yang menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN.

Selain itu, ia juga merupakan program berterusan jabatan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan dalam kalangan penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Ia juga mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut yang merupakan bakal pewaris kesinambungan bangsa seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju satu masa nanti.

Kuiz ASEAN turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran penuntut sekolah mengenai ASEAN selain mengenal pasti sejauh mana mereka mengetahui mengenai ASEAN dan peranan organisasi dalam membangun negara anggotanya.

Turut dipromosikan semasa taklimat itu ialah aplikasi mudah alih We ASEAN yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara ahli ASEAN, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

Aplikasi berkenaan juga merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN-COCI dan ia boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android adan App Store bagi pengguna iOS.

Turut hadir pada jerayawara itu Pegawai Kanan Hal Ehwal Pelajar, Haji Jusnani bin Haji Awang Taha serta tenaga pengajar lain sekolah berkenaan.