1,836 amaran dikeluarkan Jabatan Kajicuaca

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Dari 2011 hingga Jun 2021, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) telah mengeluarkan sebanyak 1,836 amaran cuaca kepada orang awam.

Tahun 2018 telah mencatatkan pengeluaran amaran tertinggi bagi tempoh 10 tahun kebelakangan dengan 290 amaran dan 2016 adalah yang terendah dengan 46 pengeluaran amaran kepada orang awam.

Statistik berkenaan adalah berdasarkan perangkaan tahunan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang turut mengetengahkan mengenai pengeluaran Amaran Cuaca Awam Tahunan bermula 2011 hingga Ogos 2021.

Menurut statistik berkenaan, tahun 2011 mencatatkan 71 amaran dikeluarkan diikuti dengan 2012 (156), 2013 (164), 2014 (117), 2015 (108), 2016 (46), 2017 (272), 2018 (290), 2019 (168), 2020 (225) dan setakat Ogos 2021 sebanyak 219 amaran dikeluarkan.

Statistik berkenaan juga menunjukkan kadar keadaan cuaca yang tidak menentu dan peningkatan yang sangat ketara beberapa tahun kebelakangan.

Selaras dengan saranan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), BDMD juga berkewajipan untuk mengeluarkan amaran cuaca bagi sektor penerbangan yang mana sejak 2014 hingga Ogos 2021, jabatan tersebut telah mengeluarkan sebanyak 280 amaran bagi kegunaan trafik udara.

Tahun 2017 telah mencatatkan pengeluaran amaran tertinggi bagi tempoh tujuh tahun kebelakangan iaitu sebanyak 83 amaran. Manakala itu, tahun 2016 adalah yang terendah dengan hanya satu amaran penerbangan. Jumlah turunan hujan terendah direkodkan antara 2012 hingga Ogos 2021 adalah pada 2016 iaitu sebanyak 2,182mm.

Ini diikuti dengan jumlah turunan hujan tertinggi direkodkan sebanyak 3,797mm iaitu pada 2017. Purata tahunan suhu minimum direkodkan pada 2021 (sehingga Ogos) iaitu 23.4 darjah Celsius dan kedua rendah adalah pada 2018 iaitu 23.8 darjah Celsius.