186 anak yatim terima derma

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 7 MEI – Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberi kembali kepada masyarakat semasa Ramadan, seramai 186 anak yatim di sekitar Mukim Liang, Daerah Belait telah menerima derma pada majlis yang dianjurkan Brunei LNG Sdn Bhd pagi tadi di dewan Taman Rekreasi Liang Lumut (LLRC).

Acara yang diungkayahkan oleh Badan Pekerja-pekerja Islam Brunei LNG merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat dalam menunjukkan keprihatinan dan pemedulian terhadap komuniti di mana Brunei LNG beroperasi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim berkenaan.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin; Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Ahmad selaku wakil pegawai Daerah Belait, ahli kumpulan kepimpinan Brunei LNG serta penjaga anak yatim.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan tahlil yang dipimpin oleh salah seorang kakitangan dari Bimbingan dan Sokongan Kaunseling, Syarikat Minyak Shell (BSP).

Seterusnya, tetamu kehormat menyampaikan derma kepada penerima serta beg kudap-kudapan oleh ahli kepimpinan Brunei LNG, sebelum berakhir dengan sesi bergambar ramai.
Derma yang disumbangkan merupakan hasil kutipan dana daripada pekerja Brunei LNG dan rakan perniagaan menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun lalu, serta 15 peratus daripada pendapatan jualan yang diperoleh daripada mesin layan diri yang terletak di premis syarikat.

Hajah Farida menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim pada majlis yang berlangsung di dewan Taman Rekreasi Liang Lumut.