Hengyi buktikan komitmen

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Hengyi Industries Sdn Bhd terus memberikan penekanan untuk mengambil bakat-bakat tempatan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran, latihan dan pendedahan kepada pengalaman yang diperlukan.

Usaha berkenaan diambil untuk membantu membangunkan syarikat serta menambah nilai ekonomi dengan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja Negara Brunei Darussalam yang kompeten dan melahirkan pemimpin tempatan industri berkenaan pada masa akan datang.

Oleh itu, Program Biasiswa Kejuruteraan Proses dan Kimia Bersama Hengyi Industries menunjukkan komitmen syarikat untuk terus mengukuhkan usaha ke arah pengambilan pekerja anak Brunei tempatan serta menyumbang kepada Wawasan Brunei 2035.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn Bhd, Chen Lian Cai dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Sijil dan Tamat Pengajian Kumpulan ke-5 Program Biasiswa Kejuruteraan Proses dan Kimia Bersama Hengyi Industries yang berlangsung di Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penyampaian sijil kepada para graduan yang diraikan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

Salah seorang pelajar biasiswa yang menerima sijil bergambar bersama Chen Lian Cai dan Profesor Luo Weidong. – Gambar oleh Muiz Matdani

Turut hadir ialah Duta China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong; Naib Presiden Zhejiang University, Profesor Luo Weidong; Pengerusi Kolej Kejuruteraan Kimia dan Biologi, Profesor Shen Wenhua, pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian serta ahli-ahli fakulti dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Chen Lian Cai dalam kata alu-aluannya lagi berkata, Hengyi terus berusaha untuk mematuhi dan menepati segala keperluan teknikal bagi memastikan bahawa loji dan kemudahan yang disediakan mematuhi standard tempatan dan antarabangsa dalam pembinaan serta operasi loji berkenaan serta akan menjadi suar bagi kerjasama Negara Brunei Darussalam dan China.

Mengulas lanjut mengenai Projek PMB Hengyi Brunei, beliau berkata bahawa ia mula dibina pada Mac 2017 dan setelah kerja-kerja pembinaan serta persiapan lebih dari dua tahun, projek itu bakal sedia bagi operasi komersial pada suku ketiga 2019.

Sebagai satu daripada pelaburan langsung asing terbesar yang beroperasi di Brunei, beliau yakin bahawa projek itu akan menyumbang kepada pembangunan hiliran industri minyak dan gas serta akan menghasilkan lebih banyak bakat-bakat tempatan dalam industri petrokimia negara.

Dalam kata alu-aluannya juga, Chen Lian Cai menyatakan bahawa sejak 2014, seramai 68 orang graduan telah menamatkan pengajian dan berkhidmat dengan Hengyi dalam pelbagai jabatan serta melaksanakan pelbagai peranan dalam projek petrokimia PMB.

Pada majlis berkenaan, seramai 11 orang pelajar biasiswa menerima sijil tamat mereka yang disampaikan bersama oleh Chen Lian Cai dan Profesor Luo Weidong.

Sempena majlis tamat pengajian itu, Zhejiang Hengyi Group turut menyampaikan koleksi lukisan purba China kepada UBD yang disampaikan oleh Chen Lian Cai kepada Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UBD, Dr Abby Tan Chee Hong dengan disaksikan bersama oleh Dr Haji Azman dan PYT Yu Hong.

Lukisan purba berkenaan ditaja oleh Kumpulan Hengyi di mana koleksi berkenaan dihasilkan oleh Zhejiang University dengan koleksi komprehensif lukisan berkenaan dikumpulkan dan diterbitkan bersama oleh Zhejiang University dan Biro Khazanah Kebudayaan Wilayah Zhejiang, serta merupakan projek penerbitan nasional besar pertama yang menumpukan kepada lukisan tradisional China di atas kertas dan sutera bagi zaman pra-Qin hingga ke Dinasti Qing.

Sebahagian daripada koleksi berkenaan telah diserahkan dalam majlis berkenaan, manakala selebihnya akan dihantar ke UBD dalam masa yang terdekat. Pada majlis itu juga, wakil pelajar biasiswa kumpulan ke-5, Dayang Syahiirah binti Haji Abdul Wahab dalam ucapannya bagi mewakili rakan-rakannya menyatakan penghargaan kepada semua pihak termasuk UBD, Hengyi Industries Sdn Bhd dan Zhejiang University serta ibu bapa dan keluarga mereka atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk mengikuti kursus pengajian yang ditawarkan serta memberikan dorongan kepada mereka untuk meraih kejayaan sehingga berjaya menamatkan pengajian mereka.

Para pelajar biasiswa yang diraikan itu telah berjaya untuk menamatkan pengajian kejuruteraan proses dan kimia di Zhejiang University selama 18 bulan termasuk latihan industri di Loji Petrokimia Hengyi Industri di China.

Selepas menamatkan pengajian di Zhejiang University, para pelajar berkenaan akan meneruskan pengajian semester terakhir mereka di UBD dan latihan penempatan kerja selama enam bulan di Hengyi Industries. Setelah berjaya menamatkan program berkenaan, para pelajar akan ditawarkan jawatan di Hengyi Industries.

Dengan kejayaan Program Biasiswa Kejuruteraan Proses dan Kimia antara Zhejiang Hengyi Group Co.Ltd, Zhejiang University dan UBD itu Hengyi Industries mengumumkan bahawa program biasiswa berkenaan telah dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi.