187 kes sembuh dicatatkan hari ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPTEMBER – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 103 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 3,567 orang dan sebanyak 187 kes telah disahkan sembuh pada hari ini.

Selain itu, terdapat dua lagi kluster baharu yang dikesan dan ini membawa jumlah kluster yang aktif kepada 54 kluster. Kluster-kluster baharu itu ialah Kluster 3274 yang mengandungi 12 kes dan Kluster 3381 yang mengandungi lima kes.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato kemudian mengongsikan, terdapat 28 tambahan kes-kes baharu kepada sembilan kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster aktif berkenaan adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

“Selain itu, terdapat tiga kes import yang dicatatkan hari ini. Tiga kes yang tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Manila pada 25 Ogos 2021 dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 684,” tambah Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa mengongsikan perkembangan terkini situasi jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Sementara itu, 58 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenalpasti sumber jangkitan. Menurut Yang Berhormat Dato lagi, pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu itu masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenalpasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa sebanyak 187 kes telah disahkan sembuh hari ini, termasuk 129 kes positif dalam kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

“Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh, oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 2,058 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,489 kes,” katanya.

Dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, lapan kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana enam daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala dua kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine 4 (ECMO).

Sementara itu, 31 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di unit rawatan intensif bagi pemantauan rapi.

Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,876 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 256,037 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: [email protected]