1,875 pelajar sekolah Arab, tahfiz terima vaksin

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 1,431 orang pelajar dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, 305 orang pelajar ITQSHHB dan 139 orang pelajar dari Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah telah menerima suntikan vaksinasi di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada hari ini.

Hadir meninjau perlaksanaan program itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Program Vaksinasi Kebangsaan (PVK) bagi pelajar berumur 12 hingga 17 tahun dari persekolahan Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) kendalian Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diteruskan lagi hari ini dengan melibatkan lebih 3,000 orang pelajar. Ini adalah susulan seramai 1,478 orang pelajar dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, 253 orang pelajar dari Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan dan 27 orang pelajar Mahad Islam Brunei yang telah mendapatkan vaksinasi mereka di pusat vaksinasi berkenaan, kelmarin.

Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom semasa meninjau perlaksanaan program vaksinasi tersebut, kelmarin.
Ibu bapa dan penjaga pelajar menemani anak-anak mereka mendapatkan vaksin di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.