Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Seramai 19 orang ahli Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) telah berlepas ke Yogyakarta, Indonesia untuk menghadiri Pertemuan Guru-guru Nusantara (PGN) ke-17 dan Persidangan Antarabangsa mengenai Pendidikan Karakter yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok.
Rombongan PGGMB yang diketuai oleh Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Haji Ahad berkenaan akan menghadiri persidangan di Hotel Inna Garuda dan Kampus Universiti PGRI di Bandaraya Yogyakarta yang akan dihadiri oleh kira-kira 200 orang wakil daripada PGGMB, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI) dan Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura.
Tema bagi pertemuan kali ini adalah ‘Memajukan Pendidikan Karakter Untuk Mengekalkan Budaya Serumpun Nusantara’ yang menekankan peranan pengajaran dan pembelajaran di sekolah merangkumi aspek moral, budi pekerti, tingkah laku, intelek, kewarganegaraan, kerohanian, kejujuran dan berdaya saing.

Dalam persidangan yang dikelolakan oleh PGRI dengan kerjasama Universiti-universiti PGRI ini nanti, beberapa kertas kerja utama akan dibentangkan oleh tokoh-tokoh pendidikan dari negara-negara peserta.
PGN ditubuhkan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang bahasa dan kebudayaan Melayu dalam kalangan negara-negara rumpun Melayu di rantau ASEAN.
Ia antara lain bertujuan untuk mempertemukan guru-guru rumpun Melayu dan melahirkan budaya serumpun yang seimbang dari segi intelek. Negara Brunei Darussalam diterima menjadi ahli PGN dalam tahun 1983.