19 asyik sabung ayam dicekup

Oleh Sim Y.H.

Gambar oleh PDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Kegiatan perjudian sabung ayam di kawasan perumahan di Simpang 316-10, Kampung Jerudong berjaya ditumpaskan hari ini, dengan 19 orang suspek ditahan.

Kegiatan itu berjaya ditumpaskan hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat bersama Unit Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh polis di sini hari ini.

Daripada 19 suspek yang ditahan, lima orang adalah warga tempatan, seorang penduduk tetap dan 13 lagi merupakan warga asing. Polis turut merampas sejumlah ayam yang dipercayai digunakan bagi pertaruhan sabung. Kesemua suspek dan barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.

Lubuk sabung ayam tersebut terletak di kawasan halaman rumah dan kedudukannya pula sedikit tersembunyi oleh timbunan pokok tanaman.

Pertuduhan terhadap kesemua suspek dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Perjudian Penggal 28 iaitu bermain di rumah perjudian yang mana boleh dihukum denda $10,000 dan enam bulan penjara.

Manakala pemilik rumah akan berdepan dengan kesalahan mengikut Seksyen 4 (a) Akta Rumah Perjudian Penggal 28 yang mana boleh dihukum denda $20,000 dan 12 bulan Penjara.

PDB akan sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan dalam objektif utama untuk menangani serta membanteras sebarang aktiviti-aktiviti yang melanggar akta perundangan di negara ini.

PDB juga berharap bantuan orang ramai untuk menyalurkan apa jua maklumat yang berunsur kegiatan jenayah melalui talian kecemasan polis 993 atau melaporkan ke balai-balai polis yang berdekatan.

Ayam dalam bakul milik suspek yang dijadikan ayam sabung antara yang dirampas oleh pihak polis dalam serbuan itu.
Antara suspek yang ditahan semasa serbuan tersebut.