Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 buku ilmiah UBD dilancarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Sebanyak 19 buah buku ilmiah yang diterbitkan dari 2019 hingga 2023 telah dilancarkan oleh Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Pelancaran buku-buku berkenaan di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD telah disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle selaku tetamu kehormat majlis.

    Dr Hazri dalam ucapan pelanca-ran antara lain menjelaskan, dalam dunia yang semakin digital ini, amat penting untuk para penulis terus mengikuti perkembangan terbaharu dalam teknologi dan trend penulisan serta penerbitan.

    “Peningkatan kemahiran ataupun kompetensi melalui upksilling mahupun reskilling berkaitan dengan teknologi terkini adalah langkah-langkah penting untuk memastikan bidang penulisan kekal relevan dan sentiasa berada di barisan hadapan.

    “Komuniti penyelidik dan penulis kini berada di ambang perubahan yang ketara, terutamanya dalam dunia digital yang semakin pesat berkembang.

    Dr Hazri bersama tetamu yang lain melihat lebih dekat buku-buku ilmiah yang baharu dilancarkan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara buku ilmiah yang dilancarkan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Keberadaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT telah membuka pintu kepada pelbagai peluang, namun ia turut membawa cabaran unik kepada dunia penulisan dan penerbitan,” jelasnya.

    Beliau turut mengingatkan, walaupun ChatGPT dapat membantu penulis dengan pencarian fakta dan cadangan idea-idea baharu ke arah penghasilan karya yang berkualiti tinggi, adalah penting bahawa teknologi ini hanyalah enabler.

    “Kreativiti, keaslian dan visi penulis tetap menjadi unsur dan nilai yang tidak boleh digantikan, teknologi AI hanyalah alat untuk menjadikan proses penulisan dan penerbitan lebih efisien, dan aspek integriti, keaslian dan etika adalah amat penting untuk dijaga,” tegasnya.

    Buku-buku berkenaan merupakan hasil penyelidikan bersama dalam kalangan tenaga akademik tempatan di Akademi Pengajian Brunei, Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah dan empat orang bekas pelajar sarjana dan doktor falsafah turut menyumbang dalam penerbitan buku-buku tersebut.

    Daripada jumlah buku yang dilancarkan itu, 15 diterbitkan oleh penerbit-penerbit tempatan manakala itu empat pula diterbitkan oleh penerbit Indonesia dan Routledge London.

    Dengan penerbitan itu, ia diharap dapat membarigakan kepada masyarakat umum mengenai penerbitan buku-buku ilmiah UBD di samping dapat menonjolkan buku-buku ilmiah yang ditulis hasil kajian tenaga akademik tempatan.

    Selain itu, ia dapat mendedahkan pencapaian UBD dari segi penerbitan buku-buku ilmiah terutama dalam bidang sejarah, Melayu Islam Beraja, pendidikan, sosial, ekonomi dan pentadbiran, selain sebagai motivasi kepada tenaga akademik tempatan untuk terus menerbitkan buku-buku hasil dari projek-projek penyelidikan.

    Pada majlis itu, sebelum menyaksikan lebih dekat lagi 19 buah buku yang dilancarkan, tetamu kehormat telah menyampaikan buku-buku terbitan kepada wakil penulis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda