19 ditahan kibar bendera Taliban – Iran

TEHRAN, 4 OGOS – Polis Iran hari ini mengatakan telah menahan 19 orang setelah bendera gerakan Taliban Afghanistan dikibarkan pada satu perhimpunan di sebuah taman Tehran.

Kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu di Taman Mellat, di utara Tehran, semasa Sambutan Hari Raya Aldiladha, kata ketua polis Tehran, Hossein Rahimi kepada agensi berita ISNA.

“Beberapa orang mula mengibarkan bendera Taliban semasa perhimpunan itu,” katanya, sambil menambah bahawa warga Afghanistan menghadiri acara seperti itu setiap tahun.

ISNA mengatakan gambar-gambar perhimpunan itu disiarkan di media sosial dan ada yang mendakwa ia melibatkan anggota kumpulan pengganas Taliban.

Ia berlaku semasa gencatan senjata tiga hari di Afghanistan antara Taliban dan pasukan keselamatan Afghanistan pada hari perayaan umat Islam yang berakhir pada hari Ahad.

Menurut Rahimi, lima daripada mereka yang ditangkap berikutan siasatan telah membuat bendera itu, merakamkan gambar dan video serta menyebarkannya kepada media.

Selebihnya kebanyakannya warga pendatang haram yang dihantar pulang.

Menurut agensi pelarian UNHCR PBB, kira-kira 3.5 juta warga Afghanistan, termasuk hampir satu juta pelarian, tinggal di republik Islam Iran.

Tehran telah lama menyokong penganut agama-agama mereka di negara jiran Afghanistan, minoriti Syiah Hazara yang dianiaya oleh Taliban selama pemerintahannya pada tahun 1990an.

Iran bekerja bersama kerajaan barat untuk membantu mengusir kumpulan Taliban setelah pencerobohan pimpinan AS ke Afghanistan pada tahun 2001.

Iran mengatakan pada bulan Disember 2018 bahawa delegasi Taliban telah mengunjungi Tehran untuk mengadakan rundingan damai. – AFP