19 institusi penyelidikan ASEAN terima geran penyelidikan EU

JAKARTA, 10 SEPT – Sebanyak 19 institusi penyelidikan ASEAN akan memperoleh manfaat daripada geran penyelidikan baharu yang disediakan oleh Kesatuan Eropah (EU), seperti yang diumumkan Misi EU ke ASEAN.

Menurut agensi berita Vietnam (VNA), institusi penyelidikan ini antara 74 pemenang di peringkat dunia di bawah seruan Suruhanjaya Eropah 2020 untuk mengemukakan cadangan kepada Marie Skłodowska-Curie Actions – Research and Innovation Staff Exchange (MSCA-RISE). Sebanyak 408 cadangan telah diterima.

Ia menyatakan inisiatif EUR80 juta itu akan menggalakkan kerjasama antarabangsa dan rentas-sektor menerusi pertukaran penyelidikan dan kakitangan yang inovatif, dan perkongsian pengetahuan dan idea daripada penyelidikan ke pasaran dan sebaliknya.

Keputusan MSCA-RISE mengesahkan komitmen EU yang kuat terhadap pergerakan penyelidik.

“Pergerakan global untuk penyelidik lebih penting lagi pada masa COVID-19,” kata Igor Driesmans, Duta Besar EU ke ASEAN.

“Dalam beberapa bulan terakhir, kami melihat penglibatan para penyelidik dari seluruh dunia untuk memerangi COVID-19 tanpa henti. Institut penyelidikan ASEAN selalu berhubungan dengan rakan sejawat mereka di EU.”

“Pandemik itu mungkin telah menghentikan pertukaran fizikal tetapi dilihat tidak bersedia untuk bekerja bersama,” katanya, sambil menambah bahawa kerjasama penyelidikan antara EU dan ASEAN adalah tonggak penting dalam hubungan dua hala. – Bernama