19 kanak-kanak, dua guru maut ditembak remaja

UVALDE, AMERIKA SYARIKAT, 25 MEI – Seorang remaja lelaki telah melepaskan tembakan rambang yang membunuh sekurang-kurangnya 19 orang kanak-kanak dan dua orang guru di sekolah rendah di Texas hari ini.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan Presiden Joe Biden yang mengecam pelobian senjata Amerika Syarikat (AS) dan berikrar menamatkan kitaran pembunuhan rambang di negara itu.

Serangan di Uvalde – sebuah komuniti kecil kira-kira sejam dari sempadan Mexico – merupakan kejadian tembakan rambang terburuk di sekolah dalam masa beberapa tahun dan terkini dalam keganasan bersenjata di seluruh Amerika.

“Sudah tiba masanya mengubah kesengsaraan ini menjadi tindakan bagi setiap ibu bapa, bagi setiap warga negara ini,” kata Biden, berucap penuh emosi.

“Sekaranglah masanya untuk menghalang atau menangguhkan atau menyekat undang-undang senjata – kami mahu memberitahu awda bahawa kami tidak akan lupa,” katanya.

Seorang wanita menangis dan memeluk budak perempuan di luar Pusat Sivik Willie de Leon, yang memberikan sokongan moral bagi mangsa kejadian tembakan di Uvalde, Texas. Seramai 19 kanak-kanak dan dua orang guru maut dalam kejadian tembakan di sekolah di Uvalde, setelah seorang remaja melepaskan tembakan rambang. –AFP

Dalam pada itu, Gabenor Texas, Greg Abott menamakan suspek sebagai Salvador Ramos, seorang penduduk tempatan berusia 18 tahun dan warga AS. “Dia menembak dan membunuh, penuh kejam dan tidak difahami motifnya,” kata Abbott.

Pegawai Jabatan Keselamatan Awam Texas (DPS) memberitahu CNN lelaki bersenjata itu dipercayai menembak neneknya dahulu sebelum menuju ke Sekolah Rendah Robb pada petang harinya dan meninggalkan kenderaan serta masuk ke sekolah membawa senapang dan raifal, memakai baju kalis peluru.

Dia ditembak oleh pegawai polis, kata pegawai, menambah, dua orang guru turut terbunuh dalam serangan itu.

“Sekarang terdapat 19 kanak-kanak yang dibunuh oleh lelaki bersenjata ini dan juga dua orang guru dari sekolah ini,” jurucakap DPS, Leftenan Chris Olivarez memberitahu NBC News.

Lebih daripada puluhan lagi kanak-kanak turut cedera dalam serangan di sekolah itu yang mempunyai kapasiti 500 pelajar berusia antara tujuh hingga 10 tahun, kebanyakan berbangsa Hispanik dan miskin. –AFP