Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar Oleh Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Seramai 19 orang pelajar sekolah-sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) yang telah memperolehi keputusan 5’A’ dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun 2017 telah diraikan pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang PSR 2017, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PGGMB, Bangunan PGGMB di ibu negara itu ialah Pengarah Sumber Tenaga Manusia, Jabatan Sumber Tenaga Manusia, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Zurina binti Haji Harun.
Dalam peperiksaan itu, Sekolah PGGMB Sungai Akar telah mencatatkan 100 peratus lulus dengan 10 orang pelajar berjaya memperolehi 5’A’ dalam lima mata pelajaran, manakala itu Sekolah Tunas Jaya PGGMB Madang mencapai 96.2 peratus lulus dengan lima orang pelajar memperolehi 5’A’.
Sementara itu, Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak pula mencatatkan 92 pe-ratus dengan tiga orang pelajar mendapat 5’A’ dan Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kuala Belait mencapai 68 peratus lulus dengan seorang pelajar mendapat 5’A’.
Jumlah calon yang berjaya mencapai gred ‘A’-’C’ dalam kelima-lima mata pelajaran meningkat kepada 100 peratus yang meletakkan sekolah PGGMB tempat teratas dalam senarai keputusan PSR 2017 di antara sekolah-sekolah swasta.