Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Sejumlah $9,000 telah disumbangkan kepada seramai 15 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan umum 2021, sebagai sebahagian daripada Skim Hadiah Galakan Pelajar Cemerlang Anak-anak Yatim bagi 2021.
Penyerahan sumbangan bagi pihak BIBD telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Pembangunan Strategik Dana Modal di Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, selaku Pengarah BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.
Pada majlis itu, lima orang pelajar GCE ‘O’ Level menerima akaun simpanan BIBD bernilai $800 setiap satu, sementara itu, 10 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) menerima $500 setiap seorang.
Para penerima terdiri daripada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Awang Irwan bin Lamit; Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial di KKBS, Hajah Noridah binti Haji Abdul Hamid, pengurusan kanan BIBD dan pegawai-pegawai kanan dari KKBS.
Menurut BIBD, skim hadiah galakan berkenaan adalah sebahagian daripada dedikasi bank untuk menjadi rakan kongsi dalam kemajuan dan memberi kembali kepada komuniti.
Pada tahun-tahun lepas, penyampaian sumbangan di bawah skim berkenaan telah dijalankan serentak dengan majlis penyampaian sumbangan anak yatim peringkat kebangsaan, walau bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19, tahun ini majlis diadakan secara berasingan.