19 Penumpang van maut kemalangan di Pakistan

LAHORE, PAKISTAN, 3 JULAI – Sekurang-kurangnya 19 penganut Sikh – semua dari keluarga yang sama – terbunuh hari ini selepas sebuah van yang membawa mereka bertembung dengan kereta api di timur Pakistan, kata para pegawai.

Pemandu kenderaan itu dikatakan melintasi landasan kereta api apabila sebuah kereta api yang masuk berhampiran bandar kecil Farooqabad turut melalui landasan yang sama.

“Pemandu kenderaan van berkenaan mengambil langkah secara tergesa-gesa untuk melalui landasan itu,” kata jurucakap Kereta Api Pakistan, Quratul Ain kepada AFP, sambil menambah bahawa semua penumpang merupakan penganut Sikh.

Jurucakap polis tempatan, Wajid Abbas mengesahkan bahawa semua yang terkorban adalah dari keluarga yang sama, di mana lapan lagi lainnya berada dalam keadaan kritikal di hospital. Tidak ada penumpang kereta api yang tercedera.

Kesemua mereka yang berasal dari utara negara itu kembali dari mengunjungi Nankana Sahib, dekat kota Lahore.

Perdana Menteri Imran Khan dalam tweetnya melahirkan rasa sangat sedih terhadap insiden yang membawa kematian itu. Gambar yang disiarkan di televisyen tempatan menunjukkan van tersebut remuk di kawasan landasan kereta api berkenaan.

Menteri pengangkutan kereta api Pakistan meminta sisatan segera mengenai nahas itu dilakukan. Kemalangan sering berlaku di kawasan lintasan landasan kereta api tanpa pemandu di Pakistan. Oktober lalu, sekurang-kurangnya 74 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera selepas silinder gas meletup di dalam kereta api yang meragut nyawa di wilayah Punjab. – AFP

Keluarga terdekat berkumpul selepas salah seorang mangsa menerima rawatan di salah sebuah hospital di Pakistan. Sekurang-kurangnya 19 penganut Sikh terbunuh ketika sebuah kereta api bertembung dengan van yang membawa mereka di timur Pakistan, kata para pegawai. – AFP