MANILA, 1 NOV – Sembilan belas petani maut apabila trak yang membawa mereka dan kampit benih padi terjunam ke dalam gaung di kawasan pergunungan di utara Filipina, kata polis hari ini.
Mangsa dalam perjalanan pulang daripada mengambil benih padi subsidi kerajaan lewat semalam di bandar Conner apabila pemandu hilang kawalan, dalam tragedi terbaharu jalan raya berbahaya di negara itu.
Kemalangan kemungkinan berpunca daripada enjin atau brek yang gagal berfungsi ketika trak itu melalui jalan berbukit.
Kenderaan itu yang membawa kira-kira 40 penumpang, terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter dalam keadaan terbalik.
“Trak itu terjunam dalam keadaan terbalik dan penumpang terhimpit,” kata pegawai polis tempatan, Manuel Canipas. Beliau menambah, 20 lagi penumpang bas cedera namun selamat. Canipas berkata, berat benih mungkin menjadikan nahas lebih buruk, kemungkinan menghempap beberapa mangsa. – AFP
