19 tamat Skim Lanjutan I bagi Mualaf Siri ke-103

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Seramai 19 orang mualaf lelaki telah berjaya menamatkan Skim Lanjutan I bagi Mualaf Siri ke-103 yang berlangsung selama 14 hari bermula 9 Jun lalu dan menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang berlangsung di Bilik AHIrsyad, Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dikendalikan Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) itu ialah Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar yang turut menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan, hadiah peserta terbaik dan pemenang bagi Peraduan Membaca Surah.

Skim Bimbingan Lanjutan I bagi Mualaf Lelaki turut berlangsung di Unit Dakwah Daerah Tutong, Belait dan Temburong.

Antara objektif skim adalah bagi memberikan bimbingan kepada mualaf untuk menghalusi dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan agama Islam terutama dalam bidang akidah, ibadah dan akhlak.

Antara mata pelajaran yang diajarkan dalam skim berkenaan ialah Mukaddam, Amali, Tauhid, Tasawuf, Fiqh Solah, Figh Haji, Fiqh Munakahat dan Sejarah Islam.

Turut diadakan secara mingguan ialah Kelas Bimbingan Mualaf di seluruh negara iaitu satu kelas di Daerah Brunei dan Muara, dua kelas di Daerah Belait, enam kelas di Daerah Tutong dan tiga kelas di Daerah Temburong.

Sesi bergambar ramai bersama para peserta Skim Lanjutan I bagi Mualaf Siri ke-103.