Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 terima sijil pengiktirafan pemandu pelancong

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seramai 19 orang telah menerima sijil pengiktirafan masing-masing setelah lulus peperiksaan secara teori dan praktikal bagi Kursus Asas Pemandu Pelancong di bawah kendalian bersama Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) pada majlis yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian sijil itu ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Kursus Asas Pemandu Pelancong yang diadakan buat kali ke-15 itu telah dikendalikan selama 10 hari bermula 1 hingga 12 Oktober lalu.

    Antara tujuan kursus itu adalah untuk meningkatkan dan memantapkan kemahiran seorang pemandu pelancong dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan memenuhi kehendak piawaian yang telah ditetapkan, menyelaras maklumat dan informasi tepat yang disalurkan oleh setiap pemandu pelancong serta membuka peluang-peluang pekerjaan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk khususnya kalangan belia.

    Dalam pada itu, para peserta kursus juga didedahkan terhadap teknik-teknik kemahiran asas praktikal dan teori tentang tatacara sebagai pemandu pelancong, pengenalan destinasi-destinasi utama pelancongan dan tempat-tempat menarik serta pengenalan industri pelancongan di negara ini.

    Hajah Tutiaty bergambar ramai bersama para peserta kursus. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sejak mula diperkenalkan pada 2016, seramai 216 pemandu pelancong yang berdaftar di JKP telah mengikuti Kursus Asas Pemandu Pelancong yang dikendalikan secara kerjasama di antara pihak JKP dan LCB, iaitu sebuah institusi yang telah dilantik bagi mengendalikan kursus berkenaan di negara ini.

    Salah seorang peserta kursus, Dayang Norhidayah binti Yahaya berkongsi pandangan kursus itu sangat diperlukan bagi sesiapa sahaja yang tidak mempunyai latar belakang industri pelancongan yang mana ia dapat membantu mereka untuk mengumpul maklumat dengan lebih ringkas dan dapat memberikan struktur dan garis pandu kepada pelancong.

    Manakala, Dayang Adilah binti Pehin Dato Haji Ishak yang juga selaku salah seorang peserta kursus mengongsikan kursus itu begitu penting bagi menyeragamkan maklumat berdasarkan tempat-tempat tarikan yang popular di Brunei supaya pelancong tidak keliru dengan maklumat yang diberikan oleh pemandu pelancong lain.

    Jelasnya lagi, kursus itu juga meliputi kemahiran bercerita yang mana kaedah tersebut diperlukan supaya mereka dapat menceritakan sesuatu tempat dengan lebih menarik bagi memastikan para pelancong akan berasa terhibur dan teruja untuk mengetahui lebih lanjut tentang Brunei.

    Sehubungan itu, bagi pemandu pelancong yang telah lulus Kursus Asas Pemandu Pelancong, adalah dikehendaki untuk menghadapkan permohonan ke JKP, KSSUP bagi mendapatkan lesen pemandu pelancong.

    JKP turut mempelawa para belia terutamanya yang sedang dan masih mencari pekerjaan untuk mengikuti kursus yang akan dibukakan bagi penyertaan orang ramai pada bulan Februari 2025.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda