190 penuntut terima bantuan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Program Keagamaan Belia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Belia Mualaf As-Syahadah telah mengadakan Majlis Penyerahan Bantuan Program Kembali ke Sekolah 2020 kepada kira-kira 190 orang penuntut yang memerlukan terutamanya para mualaf di seluruh negara, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), itu turut diselajurkan dengan penyampaian hadiah pemenang Peraduan Tulisan Jawi Sempena Festival Disember Brunei 2019.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof. Turut hadir ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Awang Muhammad Atiq bin Juani selaku wakil yang dipertua Belia Mualaf, dalam ucapan alu-aluannya melahirkan harapan agar program berkebajikan yang kali kedua diungkayahkan bersama Urus Setia Program Keugamaan Belia, KHEU dengan Belia Mualaf As-Syahadah itu akan dapat meringankan bebanan ibu bapa dalam menghadapi dan menyediakan peralatan persekolahan anak-anak mereka.

Majlis juga diserikan dengan persembahan hafazan daripada belia mualaf, Dayang Siti Nur Aina Syasya binti Haji Asnawi.

Tetamu kehormat menyerahkan bantuan kepada salah seorang penuntut sekolah.
Antara penerima yang hadir di majlis tersebut.

Kemudian, majlis menyaksikan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang Peraduan Tulisan Jawi Sempena Festival Disember Brunei 2019 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Bagi Kategori A (10 tahun hingga 16 tahun), tempat pertama dimenangi oleh Dayang Siti Nuraina Syasya binti Muhd Asnawi disusuli oleh Awangku Mohd Hadi Hamiz bin Pengiran Mokti di tempat kedua dan Haji Muhamad Al-Amin bin Haji Badaruddin di tempat ketiga.

Kategori B (17 tahun ke atas) pula dijuarai oleh Awang Khairul bin Hanif @ Rosli manakala itu, Dayang Siti Hurul-Ain Diyana @ Viena binti Haji Abdul Majid menduduki tempat kedua dan Awang Mohammad Iman bin Abdullah Haji Ibrahim di tempat ketiga.

Majlis diteruskan dengan penyerahan Bantuan Program Kembali ke Sekolah 2020 yang juga disempurnakan oleh tetamu kehormat sebelum diakhiri dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Doa Selamat.

Program pengumpulan barang-barang keperluan kembali ke sekolah itu telah dijalankan selama tiga hari pada 12, 14 dan 16 Disember lalu.

Antara lain objektif program penyerahan bantuan kembali ke sekolah itu adalah bagi menyantuni dan memberi sokongan kepada para pelajar yang memerlukan dan keluarga mereka, meningkatkan silaturahim dan keprihatinan sesama insan selain memupuk rasa saling tolong menolong antara pemberi dan penerima serta membantu meringankan beban mereka sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun 2020.