Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Seramai 191 orang pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok, hari ini, telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran bagi menandakan tamatnya pembacaan 30 Juzuk Al-Quran.
Majlis berkenaan merupakan acara tahunan yang diadakan bagi pelajar Tahun 11 dan 10 (Fast Track) selepas mereka menamatkan Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan ketika ini menunggu bagi keputusan Peperiksaan BGCE Peringkat ‘O’. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajijah binti Haji Moktal.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan pembacaan surah-surah lazim dan takhtim secara beramai-ramai. Tetamu kehormat majlis turut menabur bunga rampai dan menyampaikan sijil kepada para pelajar.
