193 kes jangkitan baharu dicatat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan sebanyak 193 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 9,665 orang.

Daripada jumlah tersebut, terdapat 33 kes tambahan baharu kepada 11 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Yang Berhormat Dato berkata, terdapat tiga kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 21 kes.

Kesemua kluster baharu berkenaan adalah kluster rumah kediaman di mana satu daripadanya iaitu Kluster Excapade, KB adalah kluster rumah menempatkan pekerja-pekerja syarikat itu.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menghadiri sidang media yang berlangsung di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala tiga kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari iaitu Kluster 2089, Kluster 4009 dan Kluster 4321, menjadikan jumlah kluster yang aktif kepada 163 kluster.

Dalam pada itu, terdapat 139 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 218 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 7,315 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,284 kes,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut beliau lagi, dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, tujuh kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 26 kes lain dikategorikan dalam lategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah beliau.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 6,357 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 419,526 ujian.