1,950 sertai Majlis Khatam Al-Quran

Oleh Pg Fairol Rmf
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan sokongan daripada kementerian-kementerian lain buat julung kalinya telah meng-adakan Majlis Khatam Al-Quran Kementerian-kementerian sempena Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 1439 Hijrah yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.

Majlis melibatkan seramai 1,950 orang peserta dalam kalangan pegawai dan kakitangan daripada 13 buah kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

Hadir selaku tetamu-tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta para pegawai kanan kerajaan.

Majlis bermula selepas selesai Sembahyang Fardu Zuhur berjemaah yang didahului de-ngan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Ugama Kanan, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Haji Haris bin Haji Suboh.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti dan Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga An-Nas beramai-ramai diikuti dengan bacaan takhtim yang dipimpin oleh tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) manakala itu, Doa Khatam dibacakan oleh tenaga pengajar ITQSHHB, Pengiran Haji Mohd Norhasib bin Pengiran Haji Bongsu.

Dikir Marhaban pula dibawakan oleh wakil-wakil daripada KUPU SB dengan diketuai oleh Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Haji Othman.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Haji Haris.

Majlis antara lain bertujuan untuk menyemarakkan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negara, selain memohon keberkatan bagi Negara Brunei Darussalam dengan syafaat Al-Quran.

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk menjadikan warga per-khidmatan awam contoh yang baik dalam melaksanakan amal berkebajikan di samping mengajak warga perkhidmatan awam mengambil peluang meraih pahala yang berlipat kali ganda dalam bulan Ramadan yang mulia ini.