1,964 unit barangan tiruan Polo dirampas

KOTA KINABALU, 6 Dis – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas sebanyak 1,964 unit pakaian dan aksesori tiruan jenama Polo, bernilai RM196,400 dalam serbuan di sebuah premis di sebuah pusat membeli belah di sini semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata berdasarkan aduan dan risikan, lapan anggota dan pegawainya telah menyerbu permis berkenaan kira-kira pukul 11.25 pagi semalam.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas 1,916 unit baju pelbagai jenis berjenama Polo, 11 unit seluar pelbagai jenis jenama Polo, 27 unit topi jenama Polo dan 10 unit tali leher jenama Polo yang disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM196,400,” katanya dalam sidang media di Pejabat KPDNHEP Sabah, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua wanita berusia 20-an dan seorang lelaki berusia 50-an untuk siasatan lanjut.

Georgie berkata sebelum serbuan itu pihaknya telah menerima aduan daripada wakil syarikat The Polo/Lauren di Sabah yang telah membuat risikan sendiri mengenai kegiatan premis berkenaan menjual barangan tiruan berjenama Polo.

“Hasil siasatan mendapati premis berkenaan telah beroperasi sejak 12 tahun lepas. Premis berkenaan juga telah memperoleh stok jualan daripada pengedar Polo yang sah, namun pemeriksaan jumlah stok barangan yang dihantar daripada pengedar yang sah tidak sama dengan barangan jenama Polo yang dijual di premis berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengetahui dari mana barangan tiruan itu diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) (B), Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekal atau menawarkan barangan yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu,” katanya.

Beliau berkata jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap barang yang dijual atau penjara tidak melebihi tiga tahun

Menurut beliau, KPDNHEP Sabah telah memeriksa 47,065 premis dan merekodkan 10,81 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM7,296,507.66 serta kompaun dikeluarkan sebanyak RM410,863 bagi tahun ini sehingga 30 November lepas dalam tindakan penguatkuasaan. – Bernama