1MDB: 80 individu dan entiti terima notis kompaun

PUTRAJAYA, 7 OKT – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Beliau berkata mereka yang menerima kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) diberikan tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.

Latheefa berkata SPRM telah membuka kertas siasatan ke atas 80 individu dan entiti yang menerima kompaun itu supaya mereka mengambil serius perkara itu dan membayarnya.

Beliau berkata individu didapati menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta, sementara entiti menerima sehingga RM134 juta.

Menurut Latheefa, Solar Shine Sdn Bhd merupakan entiti yang menerima jumlah wang tertinggi, RM134 juta sementara individu, Datuk Seri Nazir Tun Razak yang merupakan bekas Pengerusi CIMB menerima RM25.7 juta.– Bernama