KUALA LUMPUR, 15 JUN – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kemen-terian Kewangan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kerajaan masih menanggung hutang AS$3 bilion yang dipinjam oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sembilan tahun lepas.
Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, yang ketika itu bertugas di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan Dan Aktuari (BPKA), berkata pinjaman tersebut diluluskan oleh kerajaan melalui surat sokongan yang ditandatangani Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan pada 2013.
Saksi pendakwaan ke-26 itu juga mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima apa-apa laporan daripada 1MDB ke mana wang tersebut telah dibelanja dan digunakan.
“Saya mengesahkan 1MDB selaku pihak yang membuat pinjaman berjumlah AS$3 bilion telah gagal untuk membuat bayaran pinjaman seperti terma ditetapkan.
“Hal ini menyebabkan kerajaan pada masa ini terpaksa menanggung bayaran balik hutang 1MDB ini berdasarkan kepada surat sokongan yang dikeluarkan kerajaan yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan (Najib),” katanya.
AS$3 bilion adalah wang yang diperoleh daripada bon yang diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investments PJS.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu hutang itu sepatutnya dibayar sepenuhnya pada 2023.
Siti Zauyah juga berkata pihak BPKA bertanggungjawab mendapatkan laporan daripada 1MDB namun mengesahkan sepanjang bertugas di bahagian itu, beliau tidak menerima apa-apa laporan balas daripada pihak pengurusan 1MDB berkaitan penggunaan dana berjumlah AS$3 bilion.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB. – Bernama