1MDN: Malaysia gugurkan dakwaan Goldman Sachs

KUALA LUMPUR, 4 SEPT – Malaysia telah menggugurkan dakwaan jenayah ke atas Goldman Sachs berhubung peranannya dalam skandal 1MDB, kata peguam untuk bank itu hari ini.

Berbilion dolar dicuri dari dana kekayaan 1Malaysia Development Berhad dalam satu penipuan yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan konco-konconya yang tersebar di seluruh dunia.

Wang tersebut digunakan untuk membeli segala-galanya daripada karya seni mahal kepada harta tanah dan kapal persiaran mewah.

Peranan Goldman disiasat berhubung penerbitan bon berjumlah AS$6.5 bilion yang dibantu diaturnya untuk alat pelaburan, dengan Malaysia mendakwa sejumlah besar dilesapkan semasa proses itu.

Pihak berkuasa sebelumnya memburu kesemua yang terlibat dalam skandal dan memfailkan dakwaan ke atas syarikat Wall Street namun agensi berita Bernama melaporkan pendakwa memberitahu sebuah mahkamah di Kuala Lumpur bahawa mereka tidak berhasrat untuk memburu mereka lagi.

Hisyam Teh, peguam untuk bank, mengesahkan kepada AFP bahawa arahan pembebasan telah diluluskan.

Goldman pada bulan lalu membayar Malaysia AS$2.5 bilion sebagai sebahagian penyelesaian berhubung peranannya dalam skandal itu, dengan jaminan sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dalam aset yang diperoleh dengan wang yang lesap akan dikembalikan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia akan menerima sejumlah AS$4.5 bilion, bersama dengan wang 1MDB yang telah pun dikembalikan dari Amerika Syarikat.

Najib, yang ditewaskan dalam pilihan raya 2018 sebahagiannya disebabkan kemarahan rakyat berhubung skandal itu, dipenjara 12 tahun pada Julai selepas perbicaraan pertama dikaitkan dengan 1MDB. Beliau masih diikat jamin sementara menunggu rayuan. – AFP