2.1% lagi menuju fasa peralihan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Daripada 7,035 orang yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin (11 November), seramai 4,508 orang adalah golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media berkata dengan jumlah tersebut, kini seramai 376,127 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 87.5 peratus daripada jumlah penduduk negara di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan.

“Manakala, 292,124 lagi telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 67.9 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Yang Berhormat Dato.

Oleh itu, kini negara memerlukan cuma 2.1 peratus sahaja lagi untuk mencapai 70 peratus bagi dua dos lengkap vaksin COVID-19, untuk beralih daripada fasa persiapan ke fasa peralihan yang dirancang akan diadakan pada 19 November nanti.

“Dalam perkara ini, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai khususnya mereka yang belum mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan berhajat untuk mendapatkannya sebelum fasa peralihan bermula pada 19 November ini, mereka bolehlah mendapatkannya di mana-mana pusat vaksinasi secara walk-in mengikut jadual yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Yang Berhormat Dato juga mengingatkan kepada para majikan untuk memastikan setiap pekerja mereka telah mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum fasa peralihan bermula.

Sehubungan itu, kini Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 668,251 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi pemberian dos iaitu sebanyak 428,913, diikuti dengan Daerah Belait 88,474, Daerah Tutong 77,052 dan Daerah Temburong sebanyak 73,812 dos.