Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    2.5 juta orang larikan diri dari Ukraine

    GENEVA, 11 MAC – Kira-kira 2.5 juta orang telah melarikan diri dari Ukraine sejak Rusia menyerang dua minggu lalu dan dua juta lagi telah dipindahkan ke daerah lain akibat perang, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

    Ketua Agensi Pelarian PBB, Filippo Grandi menyalahkan pemindahan besar-besaran itu atas apa yang disebutnya sebagai “perang tidak masuk akal” yang bermula pada 24 Februari.

    “Jumlah pelarian dari Ukraine, secara tragis, telah mencecah 2.5 juta hari ini,” tulis Grandi di laman sosial Twitter.

    “Kami juga menganggarkan kira-kira dua juta orang kehilangan tempat tinggal di dalam Ukraine. Berjuta-juta terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat perang yang tidak masuk akal ini.”

    Paul Dillon, jurucakap Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi PBB, berkata 2.5 juta orang yang melarikan diri dari Ukraine termasuk 116,000 warga negara lain.

    UNHCR telah mengusahakan anggaran bahawa empat juta orang akhirnya akan berusaha meninggalkan Ukraine ketika perang berterusan.

    Tetapi agensi itu berkata memandangkan skala penghijrahan dalam tempoh kurang daripada tiga minggu, tidak mengejutkan jika jumlah itu melebihi.

    “Ada kemungkinan besar bahawa angka perancangan empat juta itu mungkin disemak semula,” kata jurucakap UNHCR, Matthew Saltmarsh kepada pemberita di Geneva, bercakap melalui pautan video dari Poland, dekat dengan sempadan Ukraine.

    Beliau berkata jumlah pelarian “sudah tentu tidak pernah berlaku sebelum ini sejak Perang Dunia Kedua”.

    Sebelum Rusia menyerang, lebih daripada 37 juta orang tinggal di wilayah Ukraine di bawah kawalan kerajaan pusat di Kyiv. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...