2 atlet muda negara berlepas ke Indonesia

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Dua orang pemain badminton muda negara dan seorang penolong jurulatih dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan telah berlepas meninggalkan negara, hari ini, bagi menyertai Kejohanan Badminton Asia Junior B17 dan B15 tahun 2019 yang akan berlangsung di GOR Bulutangkis Sudirman, Surabaya Indonesia.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 15 Disember depan tersebut merupakan penyertaan sulung Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD).

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen MS SSBD berkenaan ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Muhammad Norilham bin Haji Jais.

Atlet badminton MS SSBD terdiri daripada Awang Mohammad Hakeem Rahimee bin Bakar dari Sekolah Menengah Lambak Kiri dan Awang Muhammad Izzuddin bin Ermadena dari Sekolah Sukan, yang akan menyertai dalam kategori perseorangan dan beregu bawah 15 tahun. Mereka diiringi oleh pengurus dan jurulatih, Awang Budiman bin Ambai.

Kedua-dua pemain muda berkenaan merupakan atlet yang telah dikenal pasti mempunyai potensi untuk memberi saingan dalam Sukan Sekolah ASEAN 14, tahun 2022 yang akan diadakan di Negara Brunei Darussalam.

Mereka juga merupakan atlet yang pernah menyertai Sukan Sekolah ASEAN 10, tahun 2018 di Malaysia dan Sukan Sekolah ASEAN 11, tahun 2019 di Indonesia.

Kedua-dua atlet berkenaan juga telah menjalani latihan secara berterusan melalui Skim Badminton Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Skim Badminton Sekolah Sukan.

Melalui penyertaan ini, adalah diharapkan atlet-atlet tersebut akan dapat menambah pengalaman perlawanan di peringkat serantau dan antarabangsa seterusnya bagi jurulatih untuk menilai kemampuan atlet-atlet tersebut dalam memberi saingan serta mendapatkan ranking Badminton Asia Junior.

Atlet badminton junior bergambar ramai bersama Awang Muhammad Norilham di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.