2 buah rumah, 11 kenderaan musnah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Satu kejadian kebakaran awal pagi hari ini telah memusnahkan dua buah rumah pekerja dan 11 buah kenderaan di Kampung Bunut yang menempatkan 47 orang pekerja sebuah syarikat pembinaan tempatan.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), panggilan kecemasan diterima pada jam 3:08 pagi mengenai kebakaran di Simpang 639, Kampung Bunut.

JBP dengan kekuatan 20 anggota bersama empat jentera bomba dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan, Beribi dan Berakas bergegas ke tempat kejadian. Ketika sampai di tempat kejadian, api telah memusnahkan sebuah rumah bunglo dan merebak ke rumah lain yang diperbuat daripada kayu dan zink.

Anggota bomba yang diketuai oleh ASO Awang Abas bin Haji Ahmad menggunakan tiga hos dengan tangki air serta pili bomba untuk memadamkan api. Kebakaran terkawal dalam lapan minit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.Punca kejadian masih dalam siasatan.

Sehubungan dengan itu, JBP menyarankan agar orang ramai tidak menggunakan banyak barangan elektrik (lebih beban) di samping memastikan pendawaian dalam keadaan baik dan membuat pemeriksaan dengan syarikat yang bertauliah dan diiktiraf.

Orang ramai juga diseru untuk memastikan kebersihan tempat memasak dan jangan meninggalkan masakkan tanpa diawasi.Jika berlaku sebarang insiden kecemasan hendaklah berhubung terus ke Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Gambar serahan JBP menunjukkan 11 buah kereta yang musnah selepas kebakaran meranapkan dua buah rumah di Kampung Bunut, kelmarin.