2 dicekup, barang dirampas

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

TEMBURONG, 13 OGOS – Sejumlah 264 kotak pelitup muka, pelbagai barangan kosmetik, produk-produk kecantikan dan kesihatan, makanan mentah dan helaian pakaian telah ditemukan semasa penahanan sebuah kenderaan yang mencurigakan di kawasan Jalan Sibulu Kecil, Temburong pada awal malam tadi (12 Ogos).

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), penemuan itu adalah hasil rondaan dan pemantauan keanggotaan Balai Polis Bangar semasa sekatan jalan raya dijalankan di kawasan berdekatan Autoriti Jambatan Brunei, di mana sebuah kenderaan pacuan empat roda didapati berhenti di tepi bahu jalan raya sebelum sampai ke lokasi sekatan berkenaan.

Keanggotaan peronda bertugas segera mendekati namun kenderaan berkenaan segera membuat pusingan dan mengubah haluan kemudian memecut pergi.

Bilik gerakan balai segera dimaklumkan bagi bantuan keanggotaan dan insiden kejar mengejar berlaku di sepanjang perjalanan menghala ke Pekan Bangar.

Kenderaan bersama pemandu dan penumpang berjaya ditahan dan pemeriksaan telah menemukan sejumlah kotak yang mencurigakan tersimpan di kerusi penumpang bahagian belakang.

Lebih 250 pelitup muka turut ditemui semasa penahanan sebuah kenderaan di kawasan Jalan Sibulu Kecil.
Antara barangan yang ditemui semasa sekatan tersebut.

Kedua-dua suspek, kenderaan dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal.

Pemandu merupakan seorang lelaki berumur 44 tahun manakala penumpang seorang perempuan berumur 40 tahun, kedua-duanya warganegara tempatan dan juga penjawat awam.

Kes penyiasatan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.

Kenyataan menegaskan bahawa PPDB akan sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam membanteras dan mencegah dari berlakunya jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di Negara Brunei Darussalam.

Pihak polis turut memohon kerjasama daripada orang ramai bagi membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasaan undang-undang di negara ini.