2 didakwa miliki wang palsu $120,000

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Pasangan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki wang palsu berjumlah $120,000.

Tidak ada pengakuan direkodkan daripada Muntahar, 43, dan Nurdianah Tuasikal, 28, di hadapan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memiliki 12 keping wang palsu $10,000 dengan niat untuk menggunakan wang itu sebagai tulen.

Mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kira-kira jam 4:44 petang pada 17 November 2019.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman membuat permohonan untuk kedua-dua tertuduh ditahan reman bagi siasatan lanjut.

Kes disebut lagi pada 26 November 2019.