2 dipilih ikuti program kepimpinan intensif Baiduri

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Kumpulan Bank Baiduri telah mengalu-alukan dua belia Brunei ke dalam Program Sekutu Pengurusan dengan majlis penandatanganan perjanjian yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, Kiarong, baru-baru ini.

Selepas melalui proses penilaian yang ketat, Pengiran Haji Abdul Aziz bin Pengiran Haji Aji dan Colin Tan Chuan Chin dipilih sebagai kumpulan pertama sekutu daripada lebih 100 calon yang mendaftar, menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri.

Menandatangani perjanjian berkenaan bagi pihak Kumpulan Bank Baiduri ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui serta Ketua Sumber-Sumber Manusia dan Pentadbiran, Veronica Chong.

Majlis penandatanganan berkenaan turut disaksikan oleh anggota keluarga kedua-dua calon berkenaan.

Kenyataan menjelaskan, untuk layak diterima ke dalam program tersebut, kedua-dua calon berkenaan melalui proses penilaian yang termasuk pelbagai ujian psikometri, penilaian-penilaian dan pembentangan berkumpulan serta temu duga panel akhir bersama ahli-ahli pasukan pengurusan.

Di bawah program berkenaan, Pengiran Haji Abdul Aziz dan Colin akan mengikuti program pembangunan selama 12 bulan untuk membangunkan asas kukuh bagi kerjaya perbankan.

Mereka akan ditempatkan di pelbagai jabatan di kumpulan berkenaan secara bergilir, diberi peluang untuk memegang tanggungjawab, menguruskan projek-projek dan akan belajar melalui bimbingan peribadi dan kumpulan daripada pengurus-pengurus kanan yang berpengalaman.

Ti Eng Hui bersama Pengiran Haji Abdul Aziz dan Colin yang dipilih menyertai Program Sekutu Pengurusan Kumpulan Bank Baiduri. – Gambar daripada Bank Baiduri