Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    2 ditahan bersama barang tegahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan BKPU

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Dua lelaki warga tempatan dan pelbagai barangan tegahan telah ditemui dalam dua gerakan operasi iaitu Gabungan Agensi Penguatkuasaan (GAP) di dua lokasi berasingan di Kampong Ayer dan Gabungan Operasi Laut Darat (GOLD) di Sungai Mangsalut, pada 8 Februari lalu.

    Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang menjalankan Operasi GAP bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dengan menyasarkan beberapa buah rumah di Kampung Sungai Siamas dan Kampung Setia, di mana JKED telah berjaya menahan dua orang lelaki warganegara Brunei berumur 39 dan 48 tahun.

    Menurut kenyataan JKED, hasil daripada gerakan itu juga telah berjaya merampas empat peket dan enam batang rokok pelbagai jenis serta 44 mercun pelbagai jenis.

    Turut dijumpai beberapa peket lut sinar berisi hablur yang dipercayai dadah jenis syabu serta wang tunai $2,390 yang dipercayai hasil penjualan barang-barang tegahan BKN.

    Kesemua barangan tegahan itu telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang dan Pejabat BKN untuk siasatan lanjut.

    Barang-barang tegahan yang ditemui dalam dua gerakan operasi iaitu GAP di dua lokasi berasingan di Kampong Ayer dan GOLD di Sungai Mangsalut.

     

    Kenyataan menyatakan bahawa pada hari yang sama, hasil gerakan Operasi GOLD yang telah dijalankan di kawasan pantai Sungai Mangsalut, yang terletak di antara Pantai Meragang dan Pantai Berakas, di mana JKED telah mendapati dua buah perahu terdampar di kawasan pantai dan seterusnya mendapati barang-barang tegahan kastam di sekitar kawasan pantai berkenaan.

    JKED seterusnya merampas barang-barang tegahan kastam yang dikategorikan tidak bertuan sebanyak 267 karton dan 242 peket rokok pelbagai jenis, 303 botol dan 1,705 tin minuman keras pelbagai jenis.

    Selain itu, dua buah perahu berukuran 26 kaki dan 28 kaki panjang bersama lima enjin serta dua gelen berisi minyak jenis Regular turut dirampas.

    Kenyataan menyatakan bahawa kesemua barangan tegahan terbabit telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang.

    JKED dalam kenyataannya lagi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara yang berkuat kuasa pada masa ini dan menghindar daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan serta jua larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi-agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang itu.

    Kenyataan menyatakan bahawa memiliki barang-barang tegahan kastam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    JKED dalam kenyataannya turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...