Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 individu didakwa lakukan peras ugut

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Seorang wanita dan lelaki berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan peras ugut dan melakukan ugutan jenayah.

    Nurmaisarah binti Abu Bakar dan Chai Lian Kos berdepan tiga tuduhan peras ugut, yang mana mereka didakwa melakukan pemerasan dengan sengaja meletakkan mangsa dalam ketakutan, dengan mengancamnya untuk mendedahkan hubungan skandalnya di media sosial, khususnya di Facebook, ‘Bruneifm’.

    Dengan berbuat demikian, mangsa akan membayar tertuduh $20,000, $9,500 dan $1,500 dalam tiga kejadian berasingan antara Ogos dan September 2017.

    Kedua-dua tertuduh juga berdepan satu tuduhan melakukan ugutan jenayah kerana menakutkan mangsa dengan menjejaskan reputasinya dan mendedahkan skandalnya dalam ‘Bruneifm’.

    Tidak ada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang mana Peguam Leney Andrew Albert dari firma guaman Ahmad Isa dan Partners yang mewakili Nurmaisarah dan Peguam Wong Mew Sum dari Abrahams Davidson & Co yang mewakili Chai Lian Kos membuat permohonan bagi mendapatkan lebih masa untuk mendapatkan dokumen daripada pihak pendakwaan.

    Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin membenarkan permohonan dan menangguhkan sebutan sehingga 9 Oktober.

    Kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin $5,000 atau seorang penjamin tempatan.

    Hukuman bagi kesalahan peras ugut di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Penggal 22 adalah penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi daripada tujuh tahun dan sebatan. Manakala itu, kesalahan bagi melakukan ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Penggal 22 adalah penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda