2% kakitangan belum divaksin

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Kakitangan kerajaan yang masih belum diberi vaksin bukan atas sebab perubatan perlu menjalankan ujian saringan ART sebelum memasuki mana-mana bangunan kerajaan semasa fasa peralihan.

Pegawai Pentadbiran Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Khairul Hisham bin Pengiran Haji Ismail menjelaskan mengenai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) pada sidang media di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya me-ngongsikan, kira-kira 2 peratus kakitangan kerajaan belum menerima vaksinasi dan ini termasuk mereka yang menunggu slot vaksinasi dos pertama.

Mereka yang masih belum mendapatkan vaksinasi atau baru menerima satu dos vaksin, mereka akan dikehendaki bekerja dari rumah (WFH) sehingga mereka melengkapkan dos vaksinasi sepenuhnya.

“Pada masa ini, hanya mereka menerima vaksin lengkap dibenarkan kembali ke pejabat dan perbincangan masih dalam proses bagi menangani mereka yang belum diberi vaksin bagi menyediakan persekitaran keselamatan untuk semua,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Kanan di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Mohammad Norizni bin Haji Mosli pula menjelaskan mengenai perhimpunan sosial yang diadakan di kediaman persendirian, di mana, kapasiti tetamu yang hadir adalah tertakluk kepada saiz rumah.

“Jika rumah itu mempunyai empat bilik tidur, mungkin 30 tetamu dimuatkan dalam satu masa di dalam rumah mereka, tapi jika tetamu jemputan melebihi kapasiti, maka tuan rumah perlu menyediakan ruang lapang di luar rumah seperti garaj, atau khemah,” jelasnya.

Beliau turut menambah, kapasiti maksimum adalah sehingga 200 tetamu saja dan tetamu tidak boleh datang bergilir-gilir. Sementara itu, penganjur acara juga digalakkan untuk menyediakan kod QR BruHealth supaya tetamu yang hadir dapat membuat imbasan kod untuk memudahkan pengesanan kontak sekiranya berlaku jangkitan.

Selain itu, memudahkan mereka untuk memantau kod warna BruHealth, hanya mereka yang mempunyai kod hijau dan kuning saja dibenarkan untuk datang dan menyertai perhimpunan itu.

Pengiran Khairul Hisham (kanan) dan Pegawai Belia dan Sukan, KKBS, Awang Bakhtiar bin Haji Buntan semasa sesi temu bual di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.