2 keldai dadah ditahan di KLIA2

SEPANG, 24 JULAI – Polis menahan dua lelaki dipercayai keldai dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan merampas kira-kira 11.6 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM440,000 yang dibungkus dalam bungkusan teh cina, ketika hendak berlepas ke Miri, Sarawak, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamsah berkata, suspek pertama berumur 22 tahun ditahan di sekitar kawasan pelepasan klia2 pada kira-kira 3.45 petang, yang membawa kepada penahanan suspek berikutnya yang berumur 19 tahun di kawasan pintu masuk pelepasan domestik pada kira-kira 4.15 petang.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap bagasi lelaki berumur 22 tahun, seorang penganggur, menemukan lima bungkusan teh cina bertulis “Guang Yin Wang” yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.293 kilogram bernilai RM200,000.

Sementara pemeriksaan terhadap bagasi lelaki berumur 19 tahun, seorang penuntut institusi pengajian tinggi di Sarawak, menemukan enam bungkusan teh cina bertulis “Guang Yin Wang” yang mengandungi syabu seberat 6.341 kilogram bernilai RM240,000, katanya.

Zulkifli, dalam sidang media di sini, hari ini, berkata kedua-dua individu tersebut dipercayai daripada sindiket sama yang berpusat di Sarawak, tiba di sini sehari sebelum itu (Selasa) untuk mengambil bekalan dadah di sekitar Selangor untuk diedarkan di Sarawak. – Bernama

Semua rakyat Malaysia termasuk warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini akan dikenakan kuarantin wajib di pusat kuarantin bermula kelmarin. – Bernama