LONDON, 20 Sept – Dua lelaki ditangkap hari ini berhubung serangan ganas London Underground minggu lalu yang mencederakan 30 orang, membawa jumlah keseluruhan orang yang ditahan kepada lima, kata polis.
Lelaki itu, berusia 30 dan 48 tahun, telah ditangkap di bawah perundangan anti-pengganas di Newport di Wales, kata polis dalam satu kenyataan, selepas lelaki berusia 25 tahun ditangkap di bandar sama kelmarin.
“Ia akan terus menjadi siasatan pantas,” kata ketua pencegah keganasan, Dean Haydon di Polis Metropolitan London dalam satu kenyataan.
“Kami kini menahan lima lelaki dan siasatan diteruskan di empat alamat,” katanya.
“Kami jangkakan pemeriksaan itu akan mengambil masa beberapa hari untuk selesai dan mungkin mengakibatkan gangguan selanjutnya.”
Serangan Jumaat di kereta api stesen Parsons Green di barat London telah didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State.
Sebiji bom telah disembunyikan dalam baldi besar berwarna putih yang kelihatannya gagal untuk meletup sepenuhnya apabila ia meledak pada pagi hari yang sibuk namun sebaliknya mengeluarkan apa yang saksi-saksi gambarkan sebagai ‘bebola api’ di udara.
Beberapa penumpang mengalami cedera terbakar, sementara yang lain cedera dalam rempuhan menuju ke tempat keluar selepas itu. – AFP