2 lagi syarikat didenda

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Akibat tidak mengambil berat dan peduli terhadap kebersihan persekitaran, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan mengeluarkan denda kompaun ke atas dua buah syarikat.

Denda dikeluarkan semasa Pemantauan Rutin Kebersihan dijalankan di kawasan Pusat Bandar, Bandar Seri Begawan dan Kampung Kiulap, kelmarin, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua syarikat berkenaan dikenakan denda $500 atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 kerana melonggok, meletak dan menyimpan bekas-bekas kotoran serta sampah-sampah daripada pe-ngubahsuaian ruang premis di tempat awam dan letak kereta bangunan komersial.

Dalam hubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan mengingatkan mana-mana individu, orang awam atau badan-badan syarikat untuk sentiasa mematuhi dan menghormati peraturan dan undang-undang yang ada di Negara Brunei Darussalam serta sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar demi kemaslahatan orang ramai.

Longgokan sampah yang didapati oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, semasa menjalankan pemantauan rutin kebersihan di kawasan Pusat Bandar dan Kampung Kiulap, kelmarin.