Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    2 lelaki didakwa gelapkan wang AS$1.2 bilion

    WASHINGTON, 13 JULAI – Dua individu warganegara Switzerland dan Argentina telah didakwa di Miami kelmarin kerana membantu mengeluarkan wang berjumlah AS$1.2 bilion yang diambil daripada firma minyak Venezuela, PDVSA dalam siasatan rasuah yang telah lama dijalankan.

    Ralph Steinmann, 48, dan Luis Fernando Vuteff, 51, kedua-duanya adalah bekas pegawai kanan di firma pengurusan aset kewangan yang berpangkalan di Switzerland, Aquila Swissinvest, didakwa atas tuduhan membantu pegawai Venezuela dan rakan subahat lainnya dalam mengeluarkan dana daripada PDVSA dalam tempoh antara tahun 2014 hingga 2018.

    Dakwaan yang difailkan di mahkamah persekutuan itu berkata dua individu berkenaan ditahan kerana mengeluarkan sejumlah besar dana yang dicuri daripada syarikat minyak dalam skim penipuan pertukaran mata wang yang disokong oleh rasuah.

    “Steinmann, Vuteff dan yang lain kononnya berbincang dan bersetuju untuk mewujudkan mekanisme kewangan canggih dan memerlukan kerjasama untuk mengeluarkan lebih AS$200 juta dalam penipuan itu,” kata Jabatan Undang-Undang dalam satu kenyataan.

    Mereka juga membantu ‘membuka akaun untuk atau wakil daripada sekurang-kurangnya dua pegawai awam Venezuela untuk menerima pembayaran rasuah yang berkaitan dengan skim penipuan itu’.

    Menurut dakwaan, kedua-dua individu sedar dengan aktiviti rasuah dana itu, namun membantu mewujudkan akaun yang digunakan untuk memindah wang dan meletakkannya ke dalam pelaburan kewangan dan hartanah.

    Aktiviti persubahatan itu bermula pada Disember 2014 dengan skim pertukaran wang yang bertujuan untuk menggelapkan wang sekitar AS$600 juta dari PDVSA, menerusi rasuah dan penipuan.

    Pesalah memaksimumkan keuntungan dengan mengambil kesempatan menerusi akses pada kadar yang menggalakkan dalam sistem pertukaran mata wang asing kerajaan Venezuela, menukar mata wang bolivar kepada dolar dan semasa Mei 2015, hasil perkomplotan itu berjaya menggandakan nilai tersebut, menurut mahkamah.

    Steinmann dan Vuteff, masing-masing didakwa atas tuduhan bersubahat menggelapkan wang dan dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...