2 lelaki ditahan miliki senjata api

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Dua orang lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti pemburuan haram menggunakan senjata api di kawasan perhutanan Mukim Liang telah ditahan di dua lokasi berasingan pada 6 Mei lalu.

Kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan atas kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen di bawah Seksyen 17(1) Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei, Joenny Tati, 36, yang bekerja sebagai tukang kayu dan Ricky anak Kalong, 34, yang bekerja sebagai pemandu kilang papan ditahan dalam satu rondaan dan pemeriksaan pencegahan jenayah oleh keanggotaan Balai Polis Labi, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di kawasan kilang papan yang beroperasi di kawasan Mukim Bukit Sawat.

Penahanan mereka adalah berikutan satu aduan yang memaparkan beberapa gambar kelibat dua orang lelaki membawa senjata api terakam pada kamera perangkap yang terpasang di perhutanan kawasan Labi pada 14 April lalu.

Berdasarkan keterangan yang diperolehi daripada kedua-dua suspek, mereka mengakui memiliki senjata api buatan sendiri dan menggunakannya bagi tujuan memburu haiwan.

Kedua-dua suspek dilepaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak $10,000 berserta dua orang penjamin tempatan, bagaimanapun, memandangkan tidak ada penjamin maka mereka dibawa ke Penjara Maraburong bagi menantikan susulan sebutan kes yang selanjutnya.