2 maut, 7 hilang bot karam di Indonesia

KUPANG, 6 JULAI – Sebuah kapal nelayan membawa muatan berlebihan seramai 28 orang karam di timur Indonesia, meragut dua nyawa kanak-kanak, manakala tujuh lagi hilang, menurut pegawai hari ini.

Kru bot berhampiran kapal itu menemui dua mayat kanak-kanak dan menyelamatkan 19 orang dari laut berombak, kata Emi Frizer, seorang pegawai agensi mencari dan menyelamat. Penyelamat juga sedang mencari tujuh yang dilaporkan masih hilang.

Kapal Kasih-25 itu karam pada Ahad sejam selepas ia berlepas dari pantai Tablolong di Kupang, wilayah Timur Nusa Tenggara, menuju ke Pulau Rote, kira-kira empat jam perjalanan, kata Frizer.

Kapal kayu itu membawa 16 penumpang dan 12 orang nelayan ketika ia karam di Teluk Pukuafu selepas dilambung ombak setinggi dua meter dan angin kencang, tambah Frizer. –AP

Gambar dikeluarkan Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia (BASARNAS) menunjukkan penyelamat memeriksa mayat berhampiran kapal nelayan yang karam di Teluk Pukuafu, Indonesia. –AP