2 maut dalam kebakaran hospital

MOSCOW, 24 DIS – Dua pesakit maut dalam kebakaran yang berlaku di unit rawatan rapi di bahagian penyakit berjangkit hospital tersebut, yang digunakan untuk merawat pesakit COVID-19, di selatan Rusia, Astrakhan.

Kejadian kebakaran biasa terjadi di Rusia, di mana ratusan kebakaran telah direkodkan setiap tahun disebabkan kurangnya standard keselamatan dan juga infrastruktur yang semakin usang.

“Dua mayat telah dijumpai,” menurut kenyataan jawatankuasa penyiasatan yang mengendalikan jenayah berat.

Penyiasat berkata mereka telah melaksanakan siasatan terhadap kes itu tanpa memberikan maklumat lanjut.

Sejak terjadinya pandemik, kebakaran telah menjejaskan sebilangan hospital yang merawat koronavirus di negara itu.

Sembilan pesakit koronavirus maut di wilayah utara Ossetia selepas bekalan paip oksigen hospital pecah di ibu kota wilayah Vladikavkaz pada Ogos lalu. – AFP