Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    2 maut kemalangan di Tutong

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPDB

    TUTONG, 3 JULAI – Dua lelaki, seorang warga tempatan dan seorang lagi warga asing meninggal dunia dalam dua kejadian kemalangan berasingan yang berlaku di Kampung Kupang dan Jalan Tasek Merimbun, Tutong baru-baru ini.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), pada kejadian yang berlaku di Kampung Kupang, kemalangan jalan raya yang membabitkan tiga buah kenderaan telah meragut nyawa seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun pada 30 Jun lalu.

    Dua pemandu lain terlibat dalam kemalangan tersebut dirawat di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong bagi rawatan awal kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan bagi pemantauan lanjut kecederaan mereka.

    PPDB mengesahkan menerima laporan kejadian itu sekitar jam 11:45 pagi dan mangsa dipercayai meninggal dunia akibat rempuhan kuat kesan daripada pelanggaran antara lori dan kenderaan salon dipandu mangsa dalam perjalanan dari Bandar Seri Begawan ke Tutong manakala lori bertentangan haluannya.

    Menurut polis, siasatan mendapati mangsa yang maut sebelumnya telah memotong beberapa buah kenderaan di hadapannya dan didapati merempuh lori dari hala bertentangan dan berpusing, mengakibatkan sebuah lagi kenderaan di belakang mangsa turut mengalami kemalangan itu.

    Kenderaan mangsa remuk selepas merempuh lori dalam salah satu daripada dua kemalangan yang berlaku di Tutong.
    Kenderaan lori selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Tutong.
    Kereta yang dipandu lelaki tempatan dalam kemalangan sendiri di Jalan Tasek, Tutong.

    Mangsa telah terhumban keluar dari kenderaan dan didapati tidak sedarkan diri di kawasan berumput berhampiran dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik bertugas di tempat kejadian.

    Keputusan daripada pihak hospital mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan traumatik dan punca kemalangan masih lagi disiasat.

    Manakala dalam kemalangan di Jalan Tasek Merimbun, Lamunin juga di Daerah Tutong, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun maut dalam kemalangan sendiri sekitar jam 4 petang.

    Kejadian disahkan oleh anggota Balai Polis Lamunin, PPDB yang telah menerima panggilan kecemasan pada 1 Julai.

    Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota polis mendapati insiden kemalangan melibatkan kemalangan sendiri dan mangsa dalam keadaan cedera serta dikejarkan ke Hospital PMMPMHAMB namun disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

    PPDB masih menjalankan siasatan mengenai punca kemalangan. Sehubungan itu, PPDB memohon orang ramai dan saksi yang melihat kemalangan itu untuk tampil ke mana-mana balai polis ataupun menghubungi talian kecemasan polis 993 bagi membantu siasatan. PPDB menggesa pemandu dan penumpang supaya sentiasa memakai tali pinggang keselamatan kerana ianya boleh menghindari risiko kecederaan teruk impak daripada sesuatu kemalangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...