MOSCOW, 23 OKT – Sebuah pesawat pejuang Rusia terhempas ke dalam bangunan kediaman di bandar Siberia Irkutsk hari ini, mengorbankan kedua-dua anak kapalnya, ia merupakan kejadian kedua dalam masa kurang seminggu di mana sebuah jet tempur telah terhempas di kawasan perumahan.
Gabenor Irkutsk, Igor Kobzev berkata, pesawat itu jatuh di atas bangunan peribadi dua tingkat yang menempatkan dua keluarga. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Cawangan tempatan Kementerian Kecemasan Rusia berkata jet pejuang Su-30 itu terhempas semasa penerbangan latihan, mencetuskan kebakaran.
Video kamera pengawasan yang disiarkan di rangkaian sosial Rusia menunjukkan pesawat itu turun dalam terjunan hampir menegak. Video lain menunjukkan bangunan itu ditelan api dan anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran.
Nahas berlaku kurang seminggu selepas sebuah lagi pesawat pejuang Rusia terhempas berhampiran bangunan pangsapuri di pelabuhan Laut Azov Yeysk dan meletup, membunuh 15 dan mencederakan 19 lagi.
Nahas pesawat pejuang Rusia hari ini dilaporkan nahas yang ke-11 kali sejak Moscow menghantar tenteranya ke Ukraine pada 24 Februari.
Pakar ketenteraan menyatakan bahawa apabila bilangan penerbangan tentera Rusia meningkat secara mendadak semasa pertempuran, begitu juga dengan kemalangan.
Irkutsk, pusat perindustrian utama lebih daripada 600,000 di timur Siberia merupakan rumah kepada kilang pesawat yang mengeluarkan pesawat pejuang Su-30. – AP