KUCHING, 11 Jan – Dua pegawai kerajaan hari ini mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan rasuah dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara serta didenda oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini.
Penolong pegawai Rela Daerah Serian Abdul Wali Fathir Mustapha, 30, mengaku bersalah membuat tuntutan palsu untuk 190 anggota Rela yang didakwanya bertugas bagi tempoh 1 April 2012 hingga 30 April 1012 walaupun sebenarnya mereka tidak ada bertugas.
Abdul Wali dituduh membuat tuntutan itu melalui satu set borang Pengakuan Kehadiran Anggota RELA yang bertugas sebagai pelapor peti undi di daerah Serian untuk April 2012 (dari 1 hingga 30 April 2012) dengan jumlah tuntutan sebanyak RM54,720.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.
Hakim Nickson Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM273,600 atau lapan bulan penjara terhadap Abdul Wali sekiranya gagal membayar denda.
Sementara itu, seorang inspektor polis Azrul Izman Shadan, dihukum penjara 20 hari dan denda RM25,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Tertuduh mengaku bersalah menerima wang sebanyak RM5,000 daripada seorang wanita sebagai suapan untuk mengembalikan barang kemasnya yang dirampas.
Azrul didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Kedua-dua tertuduh merayu kepada hakim supaya tidak dijatuhkan hukuman penjara dan hukuman denda yang ringan memandangkan masing-masing mempunyai anak yang masih kecil untuk disara.
Pendawaan dilakukan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnian Roufan Hasbi sementara Azrul diwakili peguambela Fazila Osman, manakala Abdul Wali tidak diwakili peguam. – Bernama