Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Pasukan yang terdiri daripada dua orang peguam muda mewakili Persatuan Undang-undang Brunei Darussalam telah mara ke peringkat akhir dan memenangi Trofi Pasukan Antarabangsa Terbaik dalam pertandingan berdebat yang diadakan di Singapura oleh Dewan Mahkamah Essex dan Akademi Undang-undang Singapura, pada 11 Januari lalu.
Peguam muda negara tersebut mengatasi pasukan dari firma undang-undang terkemuka dan antarabangsa di Singapura di mana hakim-hakim termasuk Hakim Philip Jeyaratnam, menghakimi pertandingan itu.
Mewakili persatuan berkenaan dan membanggakan Negara Brunei Darussalam ialah dua pasukan terdiri daripada Brandon Chin Wei Chun dan Dayang Sa’adatun Naadhiyah binti Mohd Rosli serta Cedric Loo Shyh Cherng dan Lim Li Chyi yang dibimbing oleh mentor
mereka, Kamal Shaari.
Persatuan Undang-undang Brunei telah menghantar pasukan yang terdiri daripada peguam yang baru mendapat kelayakan untuk menyertai perdebatan itu setiap tahun sejak
2015.
Persatuan berkenaan melahirkan rasa puas atas kemenangan tersebut, menyatakan bahawa tahun 2023 pastinya membawa berita gembira apabila Brandon dan Dayang
Sa’adatun Naadhiyah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir buat kali pertama.
Pertandingan itu diadakan dari 6 hingga 11 Januari, bersempena Pembukaan Tahun Undang-undang di Singapura.
