Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    2 pelajar bakal lanjut pengajian di Jepun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Dua orang pelajar Brunei iaitu Dayang Aimi Iffah Radhiah binti Abdullah Zulhilmi dan Dayang Nurul Nurasrienah binti Masri, akan berlepas ke Jepun pada hujung April ini untuk melanjutkan pengajian mereka di bawah biasiswa kerajaan Jepun bagi tempoh dua tahun.

    Sehubungan itu, kedua-dua orang pelajar berkenan telah mengadakan kunjungan muhibah kepada Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik, Tuan Yang Terutama Maeda Toru di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kiulap, hari ini.

    Semasa kunjungan muhibah itu, TYT Maeda Toru mengucapkan tahniah kepada kedua-dua orang pelajar yang berjaya menerima biasiswa kerajaan Jepun untuk melanjutkan pengajian mereka di negara matahari terbit itu.

    Beliau berharap mereka akan memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berguna sepanjang pengajian mereka serta akan pulang ke Negara Brunei Darussalam untuk menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

    Tuan Yang Terutama menyatakan sokongan penuh kepada usaha mereka menyumbang kepada ekonomi negara serta berharap untuk terus bekerjasama dengan mereka apabila mereka tamat pengajian dan pulang ke tanah air.

    TYT Maeda Toru (kiri), Dayang Aimi Iffah Radhiah (tengah) dan Dayang Nurul Nurasrienah (kanan) bergambar ramai semasa kunjungan muhibah di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kiulap, kelmarin.

    Beliau turut mengalu-alukan pelajar Brunei untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Jepun serta berharap dengan keadaan penularan COVID semakin baik di kedua-dua buah negara, ia akan membuka lebih banyak peluang bagi pelajar-pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di negara itu.

    Dayang Aimi Iffah Radhiah dan Dayang Nurul Nurasrienah merupakan kumpulan pertama pelajar dari Brunei yang akan berlepas melanjutkan pengajian ke Jepun selepas pengurangan sekatan perjalanan antara kedua-dua buah negara pada 1 April.

    Dayang Aimi Iffah Radhiah akan melanjutkan pengajiannya di Tokyo International University Graduate School di mana beliau akan belajar mengenai pengurusan di syarikat-syarikat Jepun.

    Apabila menamatkan pengajian, beliau menyatakan harapan untuk menceburi bidang pengurus projek serta membantu dalam membangunkan perniagaan swasta di Brunei.

    Sementara itu, Dayang Nurul Nurasrienah akan melanjutkan pengajian ijazah sarjana di Waseda University dan akan mempelajari bidang teknologi media serta ICT.

    Apabila menamatkan pengajiannya nanti, beliau berharap untuk menyumbang kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dengan memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperoleh di Jepun khususnya dalam usaha negara menuju pendigitalan serta menjadi negara pintar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...