Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 pelajar berlepas ke Jepun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Dua orang pelajar Brunei iaitu Awang Muhd Syauqi bin Haji Hasnul Fikri dan Awang Adham Darwishz bin Afiat telah berlepas ke Jepun, hari ini, untuk melanjutkan pengajian mereka di bawah Biasiswa Kerajaan Jepun (MEXT).

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas kepada kedua-dua orang pelajar berkenaan ialah Setiausaha Pertama, Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Budaya, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Atsushi Aoki dan Penyelidik dan Penasihat, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Eiko Watanabe.

    Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, pada 20 Mei lalu, telah mengadakan majlis perpisahan dan makan bersama kedua-dua orang pelajar terpilih berkenaan di sebuah restoran Jepun di mana ia turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Alumni Jepun, Brunei, Hajah Najmina Fairuz binti Haji Abdul Latif.

    Kedua-dua orang pelajar berkenaan akan belajar di Jepun sebagai pelajar Kolej Teknologi di bawah Program MEXT bagi tempoh empat tahun.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Awang Muhd Syauqi melahirkan perasaan gembira kerana dipilih untuk menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajiannya di Jepun.

    Awang Muhd Syauqi dan Awang Adham Darwishz bergambar ramai dengan Atsushi Aoki (kanan) dan Eiko Watanabe (kiri) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

    Beliau turut menyatakan perasaan gementar kerana ia merupakan kali pertama baginya untuk berada berjauhan daripada keluarga serta belajar di luar negara. Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan perasaan bimbang mengenai keadaan penularan pandemik COVID-19 di Jepun tetapi percaya bahawa dengan mengamalkan segala langkah keselamatan seperti memakai penutup hidung dan mulut, mencuci tangan, menjaga kebersihan diri serta mengamalkan penjarakan sosial, semuanya akan berjalan dengan selamat.

    Mengulas mengenai pilihan untuk melanjutkan pengajian ke Jepun, Awang Muhd Syauqi berkata bahawa beliau amat meminati budaya Jepun dari usia muda lagi dan biasiswa itu bukan sahaja memberinya peluang untuk mengenali budaya Jepun dengan lebih mendalam tetapi ia juga memberinya peluang untuk mendalami ilmu teknologi yang juga amat diminatinya.

    Kolej Teknologi atau Kosen merupakan sebuah institusi pendidikan yang unik di Jepun di mana menerusi usaha untuk memupuk tenaga kerja berpotensi yang berkemahiran tinggi, kolej berkenaan memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat perindustrian maju Jepun.

    Kosen menawarkan program-program pendidikan praktikal yang membangunkan jurutera yang mempunyai kepakaran peringkat tinggi dan mampu untuk mengendalikan teknologi terkini dengan tumpuan kepada kerja-kerja makmal, kerja dan latihan praktikal serta digabungkan dengan ilmu pengetahuan teori yang terkini.

    Pelajar-pelajar antarabangsa memulakan pengajian mereka di kolej teknologi pada Tahun 3 program berkenaan dan tidak perlu untuk mengikuti pengajian Tahun 1 dan 2.

    Awang Muhd Syauqi dan Awang Adham Darwishz akan belajar di Kosen selama tiga tahun serta bagi tahun pertama mengikuti Kursus Intensif Bahasa Jepun di Pusat Pendidikan Bahasa Jepun di mana mereka bukan sahaja akan dapat mendalamkan lagi ilmu pengetahuan mereka tetapi juga mendalami kefahaman mereka mengenai bahasa, budaya dan masyarakat Jepun.

    Selain daripada pelajar kolej teknologi, Biasiswa Kerajaan Jepun juga memberikan peluang bagi pelajar-pelajar antarabangsa seperti pelajar penyelidikan, pelajar sarjana muda dan pelajar kolej latihan khusus untuk melanjutkan pengajian ke Jepun.

    Pemberian biasiswa berkenaan bermatlamat untuk melahirkan individu melalui pengajian di Jepun, untuk menjadi jambatan persahabatan di antara negara berkenaan serta menyumbang kepada pembangunan kedua-dua buah negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda